Boo

Thursday, 1 August 2013

Pengalaman di rumah kosong sekitar Shah Alam


Pada minggu ini, kami telah merancang untuk menyiasat tentang kebenaran kisah misteri Rumah Sewa RM50. Kami telah pergi ke Shah Alam di mana kisah yang telah menjadi bualan ramai di laman sesawang. Perjalanan kami bermula pada pukul 10 pagi dan disertai oleh 4 orang iaitu dari kalangan kami sendiri. Perjalanan kami memakan masa selama 40 minit untuk tiba di Shah Alam. 

Destinasi pertama kami adalah di Seksyen 2, Shah Alam. Iaitu rumah yang terletak berhadapan dengan Taman Tema Wet World seperti yang dinyatakan dalam sesetengah blog.  Ketika kami berada di sana, kami mencari beberapa rumah yang sering diperkatakan ramai.  Kami telah menemui rumah tersebut tetapi keadaan rumah itu tidak seperti apa yang digambarkan di laman sesawang. Apa yang kelihatan, rumah tersebut telah pun diubahsuai dan didiami tetapi tidak diketahui siapa pemilik sebenar.

Destinasi kami yang kedua adalah di Seksyen 3, Shah Alam. Iaitu sebuah rumah banglo yang terletak tidak jauh dari asrama kediaman universiti tempatan. Rumah tersebut agak menyeramkan kerana tidak terjaga rapi. Akan tetapi, pemilik rumah tersebut sedang mencari pembeli atau penyewa kerana kelihatan iklan yang tertera dipagar rumah tersebut.

Kami meneruskan perjalanan dengan kembali ke kawasan perumahan Seksyen 2. Kami berjaya mencari sebanyak empat buah rumah yang begitu menyeramkan. Rumah pertama adalah rumah yang disyaki dan dipercayai sebagai lokasi sebenar. Secara kebetulan, kami cuba menemurah penduduk berdekatan dengan kawasan rumah tersebut. Beliau menceritakan serba sedikit berkenaan rumah tersebut akan tetapi secara tidak terperinci kerana menurut beliau, beliau baru sahaja tinggal di rumah sewa selama setahun lebih. Beliau menjelaskan bahawa ramai yang telah ke rumah tersebut untuk mengalami dan mengetahui lebih lanjut berkenaan rumah tersebut. Tetapi ada yang ditangkap polis akibat aduan dari jiran-jiran tetangga yang mengadu bahawa rumah tersebut terancam oleh orang luar.

Selain itu, lokasi yang kami telah pergi adalah sebuah rumah kosong yang terletak tidak jauh dari rumah sewa yang sedang hangat diperkatakan. Dalam perjalanan ke rumah tersebut, kami turut menjumpai beberapa rumah kosong yang lebih menyeramkan. Kami berehat sebentar untuk berbuka puasa dan menyambung semula untuk mengambil gambar dan merakam video kira-kira dalam pukul 8.30 malam. Walaupun dikelilingi kawasan perumahan, akan tetapi keadaan di kawasan tersebut masih sunyi umpama tiada sesiapa disekeliling. Kami berpusing ke kawasan rumah tersebut sebanyak tiga kali.

Kami meneruskan perjalanan ke rumah tersebut, kami melihat seekor kucing yang tiba-tiba keluar dari rumah tersebut dan melihat ke arah kami. Kami merancang untuk tidak keluar dari kereta atas dasar keselamatan kerana dikhuatiri berlaku hal yang tidak diingini. Perjalanan kami berjalan lancar tetapi kami terasa ada seseorang sedang menunggu di dalam kereta untuk memerhati pergerakan kami. Tidak lama kemudian, kami beredar dengan segera dari lokasi tersebut.